Tuesday, July 08, 2003

acapkali kita lupa pada akar makna. pada kata-kata yang kita lafazkan. seperti menulis juga, jari yang laju menekan kotak-kotak huruf ini seakan sudah tahu maksud setiap perkataan yang diisi. belum sempat minda mentafsir, sudah jelas pada mata. apa yang terfikir dan terpanggil seakan melayang dan terus masuk ke laman ini. orang lain yang membaca seperti anda pula lagaknya berbeza. apa yang dilihat dan terbaca ditafsir dulu sebelum difahami, dan seterusnya diterima. mungkin sebab itu saya sering kali terkeliru dengan apa yang saya sendiri tulis. selepas digaul dengan kata-kata khalayak teman, saya berfikir semula dan berbincang dengan diri sendiri. ada pendirian dan fahaman saya yang berubah tetapi tidak pula saya lahirkan di laman ini. saya sendiri tidak tahu kenapa.

mungkin saya ini jenis orang yang tidak mudah membiarkan orang melihat saya 'berubah' kerana mereka. mungkin ego saya ini sangat negatif pada diri. mungkin saya ini tidak cukup matang untuk bertandang pada akal fikir orang lain. banyak sebab.

namun, saya baru-baru ini berjumpa dengan seorang teman yang ketika saya berbicara dengannya, membuat saya tidak senang duduk. setiap tutur saya dipertikaikan. katanya, saya tidak jelas dan cuai ketika memilih kata. apa lagi, saya bantah dengan hujah yang pelbagai. bukan mudah mahu menewaskan anak degil ini. apatah lagi mahu mempertikaikan warasnya.

anda tahu. saya tewas semua sekali. saya diam-diam akur pada penjelasannya dan rasa saya, segala yang diperjelaskan, jitu. saya kalah pada ego sendiri. tapi mujur bukan di depan teman itu. kami hanya menggeleng kepala pada kedegilan saya dan sama-sama diam.

tika sendiri saya terfikir lagi.