Monday, August 04, 2003

banyak saya bertanya pada orang lama, mereka yang pengalamannya tebal dan akalnya masih berbisa akan ertinya hidup berumahtangga. apa lagi yang saya tanya, ya tentang cinta dan kota kata, tentang rindu dan sembilu bisa ketika bersama. saya perihalkan juga akan masalah yang sering berlaku secara domestik masakini. saya uraikan juga latarbelakang masalah dan sedikit maklumat kritis kepada mereka ini, jujur dengan tujuan mahukan situasi yang diceritakan difahami dan berisi.

konklusi yang saya temu, cuma mahukan saya melihat dalam diri. atau lebih tepat agar orang yang bermasalah sebegini menilai apa yang dipunyai. sebagai pengikut / pembaca setia StarMag setiap hari ahad The Star, saya teringat pada komen Bulbir Singh dari seremban. Ditukarbahasakan, "kita selalu mencari sesuatu pada orang lain, perkara yang kita tidak ada pada diri / teman hidup". dalam maksudnya.

mungkin perkara terpenting yang diharuskan, kita wajar menilai dan memahami 'isi di rumah' sebelum keluar memburu 'isi' di hutan. kita wajar tegaskan pada diri kita yang tidak semua benda kita ada, dan tidak semua hasrat yang kita damba akan terkota. lebih baik, perbaiki 'kekurangan' di rumah sendiri dari menjenguk atau menjengah rumah orang. bukan niat saya berkasar kata, tidak terniat di hati. saya risau jika orang buntu sebegini bakal terus tertekan dan hilang waras. segala yang 'diterima' cuma sekadar fikir 'hidup harus diharungi jua'.

sama seperti mana ketika kita menilai diri. lihat dalam-dalam dan tafsir baik-baik kualiti yang kita kejap dalam jiwa. laraskan keyakinan dan acukan objektif pada tujuan, ia salah satu cara meniti kejayaan. sekarang lihat pada pasangan kita, apa yang kurang dan tumpulkan mana yang garang. kalau ketika 'bermesra' kita suka dan berperang kita duka, kumpulkan tenaga dan bantah. lawan demi mahu melihat rumahtangga bahagia. berkat senjata doa dan tekad diri, bahagia bakal menunggu pada detik masa, bila-bila saja. fikir positif sentiasa.


Sunday, August 03, 2003

mungkin sudah menjadi lumrah, apabila kita mendapat 'benda' yang baru milik yang lama dilupakan. aplikasi maksud saya amat luas jika mahu diperjelaskan. bergantung kepada seseorang itu bagaimana mahu mengatur corak fikirannya.

kita boleh mentafsir, dari segi mana aspek "buang lama bila dapat baru" ini terungkap. saya ingin tekankan bahawa tara-tara kita fahami, material yang menjadi ukuran. misalan, bila sudah lama menggunakan kereta saga ini, saya mahu tukar kepada honda yang baru. gadaikan saja benda lama yang terguna dan tiada nilai itu. kita banggakan diri dengan milik cantik yang baru.

justeru, tiada salah jika saya samakan situasi ini dengan pasangan hidup. adakah kita akan perlaku sama? meninggalkan badan lama demi inginkan tubuh yang baru. bukan niat seksual di sini, saya cuma mahu umpamakan saja. kadangkala, manusia berubah bukan sebabkan seks sahaja, tetapi 'bila cinta sudah tiada'. kalau selalunya, lelaki menduakan malah meniga-empatkan isterinya mungkin sebab seks (alasan lama), tetapi ada juga berkata hati sudah tiada di rumah, malah hati sudah mula bertandang di halaman orang baru. logik?

dari segi timbulnya perkara ini, antara sebab-sebab dan gejala semasa, saya dapat tangkap logikalnya. dari segi penyelesaian yang seringkali orang-orang kita gunakan, saya masih mampu akuinya. tetapi dari segi mungkin timbulnya sifat mahu yang lain, tidak cukup dengan satu atau tuhan inginkan kita berpisah kerana orang ketiga, saya seadanya masih belum mampu berfikir akan keikhlasannya.