Wednesday, October 15, 2003

-saya 'tertulis' kata-kata ini ketika berada pada takat waras minima dan tahap duka yang paling dalam, suatu ketika dahulu. kemudian saya sedar, apa yang berlaku adalah qada' dan qadar kehidupan.-

Segala yang datang dalam hidup adalah ketentuan Allah. Begitu jua pada pemergian, sudah ditakdirkan nasib dan perjalanan kehidupan seseorang. Di antara datang dan pergi itu, ada sebuah kehidupan. Ia juga suatu ‘ciptaan’ Allah. Manusia seperti kita cuma petanding. Tuhan mahu melihat sejauh mana kita ‘bertapa’. Adakah kelana hidup ini sekadar biasa-biasa saja amalannya, berpijak pada kata tuhan ketika susah dan berpesta hal dunia ketika senang di dada. Atau hidup manusia ini amat patuh pada ajaran yang diperturunkan melalui insan terpilih, untuk kita beriman.

Acapkali manusia terkeliru malah terpedaya dengan adegan duniawi hingga langkah mereka tersongsang mengadap zuhud. Tidak terjumpa batasan antara halal dan haram. Begitu juga tidak terlihat garisan antara waras, ikut agama dan logikal. Dalam pada mahu tergolong di khalayak berjaya dalam hidup, hubaya berpelajaran lagi berfikiran terbuka, berkedudukan korporat dan berstatus social, berwibawa diri dan terhormat dek masyarakat, sesetengah kita alpa terjerumus ke alam pentingkan diri sendiri dan mewujudkan undang-undang sendiri. Ajaran yang ada dilupakan, atau lebih tepat, ditinggalkan. Mereka ini rasanya terfikir yang mereka lebih tahu hal yang berlaku seharian. Mana mungkin mahu menafsir dengan rujukan pada ulama kita. Apa yang ulama kita tahu tentang hal teknologi dan dunia semasa? Cuma pandai baca kitab dan cuba ‘meluruskan’ beberapa perkara biasa selaras ajaran agama. Mana ada ilmuan agama yang tinggi kredibiliti dan luas sungguh pengetahuan duniawinya. Ini fikir sesetengah kita sekarang, benar ini yang terbuku dalam dada dan terpanggil pada minda. Serius perihalnya, sungguh.



Monday, October 13, 2003

saya dibayangi perasaan sendiri. saya terlalu lemah dalam mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang pada orang lain, ia sangat mudah. mungkin keadaan atau 'matrix' dan 'variable' harian saya berbeza, malah acapkali menekan. jitu jua, selalunya ia mencabar dan tidak mahu dengar pandangan orang lain.

zahirnya saya ini jenis insan yang suka melawan, menegakkan kebenaran yang pada saya betul. pada diri saya, nilai-nilai kedegilan ini masih ada dan terbuku.

tiap kali saya membangkitkan hal 'kawan-kawan', saya dihujani kata-kata yang merengsa. saya 'dibasuh' dengan nilai-nilai tidak perlunya menyayangi teman-teman sebagaimana ketika dahulu. mungkin, my partner tidak faham ... hmm... bukan, memang dia tidak faham langsung perkara ini. dia tidak pernah ada kawan-kawan seperti mana yang saya ada. keakraban kami ke tahap susah senang sekali kita. tika dalam kesusahan, cuma buat panggilan dan insya-allah masing-masing bakal membantu sesama sendiri. selama ini my partner cuma hidup sendiri, hingga pada saya, dia telah membentuk pemikirannya dan tanggapannya pada orang lain, pada terlalu asing. sudah lama dia asingkan diri dari sahabat dan keluarga. sejarah hidupnya mengajar dia jadi begini. bila kawan makan kawan, dan tika keluarga sendiri buang saudara ... impaknya terlalu maha.

kesan jangka panjang: insan yang saya hidup bersama sekarang.
kesan tidak langsung: kawan-kawan saya 'terabai' oleh saya
kesan lain-lain: orang lain yang tidak faham, mengutuk saya or 'kami'.
kesan berikutnya: saya menulis ini untuk sedikit meluaskan perkara sebenar.
kesan seterusnya: saya bernoktah.

.